MELAKA: Kekurangan kemudahan asas termasuk stesen minyak dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara isu yang mahu diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Esma Eazreen Husin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan itu masih memerlukan penambahbaikan, khususnya dari segi kemudahan yang dapat memenuhi keperluan harian penduduk setempat.
Menurutnya, ketika ini penduduk hanya mempunyai sebuah stesen minyak, iaitu Shell, selain kemudahan perbankan dan ATM yang disifatkan masih terhad.
Justeru, katanya, usaha menambah kemudahan berkenaan perlu dipertimbangkan bagi memastikan penduduk tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan perkhidmatan asas.
“Kalau kita lihat dari segi pembangunan di Rim ini, kawasan ini agak ketinggalan. Stesen minyak pun hanya ada satu sahaja, iaitu Shell.
“Memang betul apa yang disuarakan masyarakat, kemudahan stesen minyak masih kurang, begitu juga ATM dan bank. Jadi, kalau kita dapat menambah serta menambah baik struktur pembangunan ini, insya-Allah ia antara perkara yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Bilik Gerakan Keadilan Rim pada Selasa.
Dalam pada itu, Esma berkata beliau melihat perkembangan positif terhadap penerimaan masyarakat sepanjang kempen memasuki hari keempat, meskipun berdepan insiden sabotaj membabitkan bahan kempen parti itu pada hari pertama.
Beliau mendakwa beberapa papan iklan kempen PH di kawasan Kedai Datuk Menduk dikoyakkan, namun insiden berkenaan tidak mematahkan semangat beliau dan jentera untuk terus mendekati pengundi.
Katanya, sambutan yang diterima setakat ini juga memberi keyakinan kepada beliau untuk meneruskan kempen, selain memberi ruang kepada penduduk menyuarakan isu serta keperluan yang perlu diberi perhatian di kawasan berkenaan.
Mengulas tawaran kepada pengundi, Esma berkata beliau sebelum ini telah melancarkan enam teras manifesto yang antaranya memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan kemudahan mendapatkan bantuan.
Antara yang dicadangkan ialah mewujudkan sebuah hab kebajikan bagi memudahkan penduduk mendapatkan peralatan bantuan seperti kerusi roda dan katil pesakit, khususnya bagi mereka yang memerlukan penjagaan di rumah.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesukaran penduduk mendapatkan peralatan berkenaan, termasuk keperluan untuk berurusan dengan pelbagai pejabat atau melalui proses permohonan yang dianggap membebankan.
“Antara enam teras manifesto saya, saya ingin membina satu hab kebajikan yang menyediakan akses lebih mudah kepada rakyat untuk mendapatkan peralatan seperti kerusi roda, katil pesakit dan sebagainya.
“Memang kemudahan itu sudah ada, tetapi kita mahu memudahkan rakyat supaya mereka tidak perlu melalui kesukaran atau berulang-alik ke pejabat tertentu untuk mendapatkan bantuan. Dengan adanya hab ini, urusan mendapatkan peralatan berkenaan dapat dipermudahkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru pengundi DUN Rim supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, selain memberikan sokongan kepada calon yang diyakini mampu membawa perubahan kepada kawasan itu.
Katanya, DUN Rim mempunyai nilai sentimental buat dirinya memandangkan kawasan berkenaan merupakan tempat beliau dan keluarga serta kenalan membesar dan menetap.
“Harapan saya agar semua masyarakat dapat memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan. DUN Rim ini tempat saya, rumah kita, saudara-mara dan keluarga saya juga berada di kawasan ini.
“Jadi, pada 14 November nanti, saya menyeru semua saudara-mara, rakan sekolah, rakan seperjuangan dan jiran tetangga supaya keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.