Ringkasan AI
- Kuih Bakar Kuala Ina di DUN Gadek terkenal dengan ramuan rempah-ratus asli dan kaedah pembakaran tradisional menggunakan sabak, kayu api dan arang.
- Perniagaan ini diasaskan sekitar 1980-an oleh ibu Mastura Talip dan kini diteruskan generasi kedua dengan pengeluaran sekitar 600 keping sehari.
- Mastura menerima sokongan agensi seperti INSKEN dan menawarkan kuih bakar berempah pada harga RM3.50 sebiji serta pelbagai kuih tradisional lain.
ALOR GAJAH: Aroma harum rempah-ratus yang disangai bersama daun pandan dan daun limau purut, menjadi antara keistimewaan Kuih Bakar Kuala Ina yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di sini.
Di sebalik teksturnya yang bersarang, rasa berempah dan permukaan keemasan, kuih tradisional itu membawa kisah usaha sebuah keluarga memelihara resipi turun-temurun yang kini memasuki generasi kedua.
Pengusahanya, Mastura Talip, 59, berkata perniagaan itu bermula sekitar awal 1980-an menerusi usaha arwah ibunya secara kecil-kecilan.
Anak bongsu daripada lapan beradik mula membantu ibunya sejak kecil sebelum mengambil alih penghasilan kuih itu sekitar 2011, sekali gus meneruskan legasi keluarga yang kini menjadi antara produk tradisional dikenali di kawasan berkenaan.
"Pada mulanya kami buat sedikit-sedikit sahaja, bukan setiap hari. Biasanya apabila tiba musim perayaan atau ada tempahan daripada ahli keluarga.
"Selepas adik-beradik lain keluar mencari rezeki dan mengikut keluarga masing-masing, saya yang tinggal di sini membantu ibu. Walaupun terpaksa berpanas menghadap api, lama-kelamaan itulah yang menjadi sebahagian daripada kehidupan saya," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Keistimewaan Kuih Bakar Kuala Ina terletak pada ramuan rempah-ratus yang diramu sendiri, antaranya jintan manis, ketumbar, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan buah pala.
Berlongsi lanjut, Mastura berkata semua bahan berkenaan perlu digoreng atau disangai sebelum dikisar, manakala adunan kuih pula disediakan lebih awal dan dibiarkan semalaman.
"Rasa dan bau rempah itulah rahsianya. Apabila rempah disangai, aromanya akan naik. Itu resipi turun-temurun daripada arwah ibu dan kita cuba kekalkan supaya orang dapat mengenali rasa Kuih Bakar Kuala Ina," ceritanya lagi.
Berbeza daripada sesetengah kuih bakar yang menggunakan serbuk penaik, kuih keluaran Mastura bergantung kepada penggunaan gula dan telur sebagai agen penaik semula jadi.
Selain itu, Mastura masih mengekalkan kaedah pembakaran tradisional menggunakan sabak, kayu api dan arang, meskipun prosesnya mengambil masa lebih Panjang.
Menurutnya, api perlu dinyalakan seawal 8.30 pagi dan sabak dipanaskan kira-kira dua jam sebelum boleh digunakan, manakala proses membakar diteruskan sehingga sekitar 5 atau 6 petang.
Dalam sehari, premis itu mampu menghasilkan kira-kira 600 keping kuih bakar, bergantung kepada permintaan pelanggan.
"Kalau menggunakan ketuhar, kita hanya perlu menetapkan suhu. Tetapi sabak perlu dipanaskan betul-betul. Kita masih memilih cara tradisional kerana aroma kayu api dan arang itu memberikan kelainan pada kuih," tambah Mastura.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Mastura turut menerima bantuan daripada beberapa agensi termasuk Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi menyokong operasi pengeluaran.
Dijual pada harga RM3.50 sebiji, Kuih Bakar Kuala Ina dihasilkan dalam satu jenis iaitu berempah, dengan pilihan taburan bijan mengikut permintaan pelanggan.
Selain kuih bakar, premis itu turut menghasilkan pelbagai kuih tradisional lain seperti kuih kering, kuih deram, putu kacang, bahulu, kuih goyang dan kuih tiram.