Ringkasan AI
- Datuk Zulkiflee Mohd Zin menekankan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi sebagai agenda utama jika diberi mandat di DUN Taboh Naning.
- Beliau memaklumkan 176 projek pembangunan bernilai RM41.8 juta telah dilaksanakan, termasuk projek Melaka Inland Port dengan pelaburan hampir RM300 juta.
- Zulkiflee akan mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning pada PRN Melaka menentang calon Pakatan Harapan, Ajue Sahat, pada 14 November ini.
ALOR GAJAH: Pembangunan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan kesihatan serta peluang ekonomi untuk penduduk setempat antara agenda yang mahu diteruskan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Penyandang kerusi itu berkata antara keutamaan beliau ialah memastikan projek pelebaran jalan di Simpang Empat yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual pada 2028, selain pembinaan bangunan sekolah baharu dua tingkat bernilai hampir RM11 juta.
Beliau berkata kelulusan pembinaan bangunan yang dilengkapi lapan bilik darjah itu penting berikutan pertambahan penduduk susulan pembangunan kawasan perumahan yang semakin rancak di Taboh Naning.
"Selain itu, saya juga memberi tumpuan kepada Klinik Kesihatan Simpang Empat yang sudah lama beroperasi. Saya telah meminta Kementerian Kesihatan mencari kaedah untuk membesarkan atau menambah bangunan sedia ada.
"Setakat ini, saya difahamkan kementerian telah memohon peruntukan hampir RM2 juta bagi pembelian tanah bersebelahan klinik itu dan dijangka mendapat kelulusan dalam Belanjawan 2027," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini.
Selain itu, Zulkiflee turut mahu meneruskan usaha menaik taraf jalan negeri dan Persekutuan bagi meningkatkan keselesaan pengguna, selain memastikan penduduk yang layak menerima bantuan kebajikan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Mengulas pencapaian pembangunan sepanjang tempoh hampir lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau berkata sebanyak 176 projek pembangunan bernilai RM41.8 juta telah disalurkan ke kawasan itu.
Beliau berkata antara projek berimpak besar yang dijangka membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk ialah Projek pelabuhan darat Melaka Inland Port dengan nilai pelaburan hampir RM300 juta.
"Projek ini telah diwartakan oleh kerajaan negeri, dan Insya-Allah, warga DUN Taboh Naning, dan belia-belia yang mempunyai kelulusan boleh mengintai peluang pekerjaan yang ada.
"Insya-Allah, saya difahamkan pelaburan itu sedang rancak untuk didirikan," kongsinya lagi.
Dalam usaha memperkukuh ekonomi setempat pula, Zulkiflee mahu membantu peniaga kecil mendapatkan lesen sementara atau permit perniagaan melalui kerjasama dengan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Beliau turut memberi perhatian kepada usahawan muda yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan menghubungkan mereka kepada Kementerian Pembangunan Usahawan bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan, dana dan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.
Menyentuh aspek warisan, anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani itu menambah, produk makanan tradisional seperti dodol, wajik, baulu dan kraf tangan perlu terus dipelihara kerana menjadi sumber pendapatan masyarakat setempat.
Saingan di DUN Taboh Naning
Mengulas persaingan pada PRN kali ini, Zulkiflee menyerahkan kepada pengundi untuk menilai prestasi dan komitmennya sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat, termasuk pendekatan turun padang serta usaha menyelesaikan isu penduduk.
Ujarnya, keutamaan sepanjang hampir lima tahun itu bukan tertumpu kepada jumlah majoriti kemenangan, sebaliknya memastikan hubungan dengan masyarakat terus terpelihara menerusi program komuniti dan bantuan kepada penduduk.
"Pemimpin kena peka dan turun padang. Kalau kita tidak turun padang, kita tidak tahu masalah masyarakat, sama ada di kedai kopi, surau, masjid atau tempat belia berkumpul.
"Sebagai wakil rakyat, kita perlu mendekati semua lapisan masyarakat dan memahami keperluan mereka," katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, Zulkiflee mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2021 dengan majoriti 1,825 undi.
Beliau berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Ajue Sahat pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung 14 November depan.