Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Rahayu mahu perkasa pendidikan, pembangunan wanita di Merlimau

Rahayu berkata, pendekatan yang akan dibawa bukan sekadar menawarkan pelbagai janji, sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang boleh dilaksanakan. - Astro AWANI
Rahayu berkata, pendekatan yang akan dibawa bukan sekadar menawarkan pelbagai janji, sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang boleh dilaksanakan. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

MERLIMAU: Pendidikan dan pembangunan wanita menjadi antara fokus utama yang mahu diketengahkan calon baharu Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Wanita Amanah Melaka itu berkata, tumpuan terhadap pendidikan khususnya dalam kalangan anak muda penting bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai peluang lebih baik untuk membina masa depan.

Menurutnya, perkara itu selari dengan aspirasi yang dibawa PH menerusi gagasan Melaka Rumah Kita, termasuk usaha memperluas peluang dan sokongan kepada golongan muda serta kaum wanita.

Advertisement

Beliau berkata, pendekatan yang akan dibawa bukan sekadar menawarkan pelbagai janji, sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang boleh dilaksanakan, termasuk menyelesaikan isu dan gerak kerja yang masih tertangguh.

“Pendidikan itu paling utama. Segala gerak kerja dan penyelenggaraan yang mana kita boleh selesaikan, kita tidak boleh hanya bercakap atau menawarkan bulan dan bintang.

Advertisement

“Apa yang kita boleh buat, perkara yang masih tergendala, kita cuba selesaikan,” katanya.

Mengulas pendekatan untuk mendekati pengundi, Rahayu berkata, beliau yakin gerak kerja serta penglibatannya selama ini dalam kalangan masyarakat, khususnya kaum ibu dan wanita di Merlimau, mampu membantu memperkenalkan dirinya kepada penduduk setempat.

Katanya, pendekatan dari mulut ke mulut juga menjadi antara harapan beliau untuk mendapatkan penerimaan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya yakin kaum ibu dan kaum wanita yang mengenali saya di DUN Merlimau ini, insya-Allah mereka akan sampaikan kepada masyarakat apa yang saya telah buat selama ini.

“Saya berharap saya diterima di N27 Merlimau ini dan saya bersedia sekiranya diberikan peluang untuk menyahut cabaran, menunaikan tanggungjawab serta amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui isu infrastruktur dan banjir antara perkara setempat yang perlu diberi perhatian, susulan aduan yang diterima daripada penduduk.

Menurutnya, usaha penyelesaian perlu diteliti termasuk memanfaatkan peruntukan yang telah disalurkan kerajaan bagi menangani isu berkenaan di Merlimau.

Beliau berkata, selain pendidikan dan pembangunan wanita, penyelesaian masalah yang dekat dengan kehidupan penduduk juga akan menjadi antara perkara yang diketengahkan sepanjang kempen PRN kali ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement