[TERKINI] PRN Sabah: Calon PBK yakin mampu tawan Tanjong Kapor walau dianggap 'underdog'
![[TERKINI] PRN Sabah: Calon PBK yakin mampu tawan Tanjong Kapor walau dianggap 'underdog' [TERKINI] PRN Sabah: Calon PBK yakin mampu tawan Tanjong Kapor walau dianggap 'underdog'](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51763774616_PBKPRNSabah.jpg)
Mengulas dakwaan bahawa calon PBK dianggap 'underdog' dalam persaingan kali ini, Abdul Halim menegaskan, kenyataan tersebut tidak mencerminkan realiti sokongan akar umbi di Tanjong Kapor. - Gambar Astro AWANI
KUDAT: Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Datuk Abdul Halim Yussof menyatakan keyakinan untuk memberi saingan sengit di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, meskipun berdepan pertembungan 11 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Beliau berkata, saingan sengit itu termasuk mencabar Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda membuka peluang sama rata kepada semua calon.
Abdul Halim yang merupakan bekas ahli UMNO selama lebih 15 tahun, menjelaskan, beliau terpanggil bertanding di bawah PBK kerana suara rakyat Sabah yang semakin lantang mendesak agar hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperkasakan seperti mana pembangunan autonomi di Sarawak.
"Saya terpanggil untuk menjadi calon PBK ini disebabkan hampir 80 hingga 90 peratus penduduk Sabah bercakap atau menyatakan kenapa tidak ikut macam Sarawak.
"Kami (PBK) bukan mahu memerintah sebenarnya. Kami mahu masuk dalam pemerintahan. Siapapun yang menjadi pemerintah (Kerajaan Negeri) nanti kami akan mahu masuk.
"Ini bagi memastikan hak-hak Sabah dipatuhi ataupun MA63 itu, haruslah ditunaikan seperti di Sarawak," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Mengulas dakwaan bahawa calon PBK dianggap 'underdog' dalam persaingan kali ini, bekas jurutera berpengalaman itu menegaskan, kenyataan tersebut tidak mencerminkan realiti sokongan akar umbi di Tanjong Kapor.
Abdul Halim berkata, jumlah masyarakat Bajau Ubian yang dianggarkan sekitar 13,000 orang, ditambah dengan komuniti Bajau daripada suku lain serta kira-kira 4,000 pengundi Bumiputera Islam, merupakan kumpulan akar umbi yang dilihat memberi kelebihan kepadanya.
"Saya 'local boy' dan itu kelebihan kepada saya. Saya juga pernah menjadi ahli UMNO, dan saya tahu macam mana UMNO bekerja. Jadi semua saya belajar daripada UMNO," katanya lagi.
Beliau juga menegaskan PBK menawarkan platform perjuangan yang lebih jelas dalam memperjuangkan autonomi negeri dan memastikan suara rakyat Sabah tidak diketepikan dalam dasar kerajaan.
Selesaikan isu lima generasi, warta kampung di Tanjong Kapor
Sementara itu, Abdul Halim berikrar menjadikan penyelesaian isu pewartaan tanah perkampungan sebagai agenda utamanya sekiranya diberi mandat dalam PRN Sabah ke-17.
Beliau berkata, isu tersebut telah berlarutan sehingga lima generasi, membabitkan hampir 20 kampung di Tanjong Kapor yang masih berstatus tanah kerajaan dan tidak pernah digazetkan sebagai kampung rasmi.
Menurut beliau, proses pewartaan yang tertangguh selama beberapa dekad itu menyebabkan pelbagai pembangunan asas gagal disalurkan kepada penduduk.
"Saya sudah memohon tanah ini untuk diwartakan. Jadi saya rasa inilah peluang saya. Kalau saya menang saya akan wartakan sebab sudah ada permohonan.
"Ini sebagai contoh kepada kampung-kampung yang lain itu yang belum diwartakan itu. Mereka haruslah menubuhkan persatuan penduduk, dan memohon semua tanah itu untuk diwartakan," ujarnya lagi.
Abdul Halim menambah sebarang kemajuan kampung dan pembangunan ekonomi tidak dapat dilaksanakan selagi kampung-kampung terbabit tidak diwartakan.
"Contohlah bantuan-bantuan kerajaan macam mana boleh masuk di kawasan setinggan. Jadi kampung itu haruslah digazetkan atau diwartakan dulu. Barulah bantuan kerajaan disalurkan," kata beliau.
PBK meletakkan seramai 14 calon pada PRN Sabah ke-17.
Seramai 34,001 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab di DUN Tanjong Kapor pada 29 November depan.
Dalam pilihan raya sebelum ini, kerusi tersebut dimenangi oleh Chong Chen Bin daripada Parti Warisan (Warisan) dengan majoriti 1,879 undi.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

