SHAH ALAM: Isu bangunan empat tingkat yang didakwa didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat bukan berada di bawah skop pengurusan strata.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkara itu telah dijelaskan sebelum ini dan beliau percaya kerajaan negeri akan mengendalikan isu itu mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Sebenarnya isu itu tidak ada berkait dengan strata, tetapi telah pun dijawab dan saya percaya Menteri Besar juga telah memberikan penjelasan mengenainya. Biar pihak berkaitan menguruskannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata, KPKT sedang meneliti semula Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan sektor perumahan semasa.
Menurut beliau, semakan itu dibuat mengambil kira perubahan landskap pembangunan yang menyaksikan semakin banyak projek perumahan bertingkat dibangunkan di seluruh negara.
Beliau berkata, konvensyen pengurusan strata yang menghimpunkan kira-kira 130 peserta dari seluruh negara itu dijangka menjadi platform penting dalam mengumpulkan pandangan dan pengalaman untuk membantu proses penambahbaikan akta berkenaan.
"Pengalaman yang dikongsi peserta dari pelbagai negeri akan memberi nilai tambah kepada usaha kementerian dan Jabatan Perumahan Negara dalam menilai aspek yang perlu diperkukuhkan dalam akta tersebut," katanya.
Jelas beliau, keperluan menambah baik undang-undang berkaitan strata semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk dan kekangan ruang yang menyebabkan pembangunan perumahan bertingkat menjadi pilihan utama.
"Perbincangan berterusan bersama pemain industri dan pihak berkepentingan penting bagi memastikan sebarang pindaan yang dilakukan dapat memenuhi keperluan semasa serta meningkatkan keberkesanan pengurusan strata di negara ini," jelas beliau.
Terdahulu, Amirudin berkata, pelbagai tindakan diambil agensi kerajaan sejak 2016 bagi menangani isu bangunan penempatan etnik Rohingya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, tindakan berkenaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta penguatkuasaan.
Sebelum ini, Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan perobohan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan, tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang sudah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu. -Sinar Harian