[TERKINI] PRN Sabah: Ruji, calon berpengalaman PH, mampu bawa pembaharuan di DUN Merotai
![[TERKINI] PRN Sabah: Ruji, calon berpengalaman PH, mampu bawa pembaharuan di DUN Merotai [TERKINI] PRN Sabah: Ruji, calon berpengalaman PH, mampu bawa pembaharuan di DUN Merotai](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763605349_RujiUbi.jpg)
Ruji menyampaikan ceramah pada program Malam Santai Belia Merotai di Dewan Terbuka Merotai Besar, Tawau, malam tadi. --fotoBERNAMA
TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ruji Ubi, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, disifatkan sebagai calon kompeten dan berkeupayaan membawa pembaharuan di Sabah.
Ringkasan AI
- Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ruji Ubi disifatkan sebagai calon kompeten dan berpengalaman yang mampu membawa pembaharuan di Sabah.
- Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru pengundi DUN Merotai untuk memberi peluang kepada Ruji Ubi memandangkan beliau memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.
- Kira-kira 50 peratus pengundi di DUN Merotai adalah golongan berusia bawah 40 tahun, menjadikan sokongan generasi muda penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
Saifuddin Nasution berkata Ruji mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hasil perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik yang menyaksikan beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan.
"Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan seterusnya sebagai Ketua Setiausaha di beberapa kementerian strategik seperti Kementerian Perpaduan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan," katanya.
"Beri peluang kepada beliau (Ruji). Ini satu rayuan yang kami anggap munasabah kerana kejayaan meletakkan beliau sebagai wakil rakyat di sini tentu membolehkan penduduk DUN Merotai mempunyai wakil yang memahami urusan rakyat serta selok-belok pentadbiran kerajaan," katanya.
Sementara itu, Ruji berkata 50 peratus pengundi di DUN Merotai terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun, dan sokongan generasi muda amat penting memandangkan mereka memerlukan peluang pekerjaan termasuk dalam bidang keusahawanan.
"Keperluan anak muda boleh saya sampaikan terus kepada Perdana Menteri," katanya sambil menambah bahawa beliau turut mengambil maklum isu pewartaan kampung dan tanah adat.
Merotai merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Kalabakan, selain Tanjung Batu dan Setabik, dan terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu.
Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N72: MEROTAI: SABAH: 26,179
1. Rhyme @ Reymie Kassim (PIS)
2. Hasan Haris (PN-PAS)
3. Sarifuddin Hata (Warisan)
4. Datuk Ruji Ubi (PH-PKR)
(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,587)
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

