[TERKINI] PRN Sabah: ‘Tiada janji bulan bintang, isu rakyat kita cuba selesai’’ - Annuar Ayub
![[TERKINI] PRN Sabah: ‘Tiada janji bulan bintang, isu rakyat kita cuba selesai’’ - Annuar Ayub [TERKINI] PRN Sabah: ‘Tiada janji bulan bintang, isu rakyat kita cuba selesai’’ - Annuar Ayub](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41764160923_TBAnnuarAyub.jpg)
Annuar Ayub berkata, manifesto bukan soal menabur janji bulan dan bintang, sebaliknya ia merupakan kesinambungan dalam gerak kerja untuk meringankan beban rakyat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Manifesto bukan soal menabur janji bulan dan bintang, sebaliknya ia merupakan kesinambungan dalam gerak kerja untuk meringankan beban rakyat.
Ringkasan AI
- Manifesto GRS DUN Liawan adalah kesinambungan usaha untuk meringankan beban rakyat tanpa berjanji besar-besaran, menekankan rekod perkhidmatan calon Datuk Annuar Ayub Aman selama lima tahun.
- Annuar Ayub Aman menggariskan bahawa kehendak asas penduduk Liawan ialah pembangunan, kesejahteraan, dan penjelasan terus daripada wakil rakyat, dengan setiap ceramahnya disusuli sesi soal jawab untuk memberi penerangan kepada penduduk.
- Keputusan Annuar untuk kekal bersama GRS dan berpisah dengan STAR adalah demi membentuk kerajaan yang stabil, di mana kepercayaannya pada pembangunan melalui GRS menjadi faktor utama, serta Annuar merayu pengundi Liawan memberi peluang untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan.
Beliau berkata suara masyarakat Liawan yang diterimanya tidak berubah iaitu mereka mahukan pembangunan, kesejahteraan dan penjelasan terus daripada wakil rakyat.
Jelas beliau, setiap siri ceramahnya disusuli sesi soal jawab bagi memberi penerangan segera kepada penduduk, yang menurutnya adalah sebahagian latihan dan persediaan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat semula.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai majoriti tipis pada PRN lalu, yang penting ialah kemenangan. Jentera kami telah bergerak lama, sambil bekerja kami berkempen…. sambil berkempen, kami terus bekerja,” ujarnya.
Berhubung keputusannya untuk kekal bersama GRS dan tidak lagi bersama STAR, Annuar mengakui ia keputusan yang berat selepas lebih lima tahun bersama parti tersebut.
Namun katanya, keperluan membentuk kerajaan yang stabil menjadi pertimbangan utama.
“Kita perlu melihat gambaran lebih besar. Banyak pembangunan yang saya dapat bawa kepada rakyat datang melalui kerajaan GRS. Kepercayaan saya ada di situ,” katanya.
Annuar turut menyentuh latar perjalanan hidupnya, yang menurut beliau bukan seperti disangka ramai.
“Saya pun pernah melalui apa yang rakyat lalui. Bila saya dapat ringankan beban mereka dan melihat senyuman mereka, itulah ganjaran terbesar saya,” katanya.
Menyentuh sentimen Sabah for Sabahan, beliau melihat tuntutan itu sebagai permintaan terhadap hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan bukan slogan pemisahan.
“Kita cuma mahukan apa yang memang menjadi hak kita. Layanan yang sama rata. Bila negeri-negeri diperkasa, negara pun akan menjadi lebih kuat,” jelasnya.
Menjelang hari pengundian, Annuar merayu agar pengundi Liawan memberi beliau lagi peluang untuk meneruskan kerja yang telah dimulakan.
“Saya tidak suka berjanji, tetapi saya janji satu, apa sahaja yang perlu diusahakan, saya akan usahakan. Banyak perkara saya tidak janji pun sebelum ini, tetapi sudah terlaksana. Beri saya lima tahun lagi untuk menyambung dan memperbaiki kerja-kerja yang telah dilakukan,” katanya.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

