[TERKINI] PRN Sabah: UPKO tanding di lebih 20 kerusi - Ewon
![[TERKINI] PRN Sabah: UPKO tanding di lebih 20 kerusi - Ewon [TERKINI] PRN Sabah: UPKO tanding di lebih 20 kerusi - Ewon](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763042714_UPKOPRNSabah.jpg)
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menampilkan lebih 20 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. - Astro AWANI
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menampilkan lebih 20 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, senarai calon akan diumumkan secara rasmi pada Sabtu ini, dengan beliau sendiri akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
“Kita akan bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi kerana kita mahu menzahirkan kepimpinan UPKO supaya kerajaan Sabah yang bakal dibentuk nanti lebih tegas dan berprinsip,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah ‘Sabah First’ di Dewan Gawir, di sini pada Khamis.
Menurut Ewon, calon-calon UPKO terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan, pengusaha kelapa sawit, peniaga, ahli Parlimen, bekas pegawai kerajaan serta aktivis masyarakat sivil.
“Tidak kurang juga calon wanita muda yang berkaliber, dan ada juga calon yang lebih muda daripada saya,” tambahnya.
Ahli Parlimen Penampang itu menegaskan, pilihan raya kali ini perlu menjadi referendum kepada rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri, termasuk yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
UPKO sebelum ini mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
15 November ini ditetapkan sebagai hari penamaan calon bagi PRN17.
Mengenai jelajah ‘Sabah First’ pula, Ewon berkata pelancaran tersebut menandakan permulaan kepada satu gagasan perjuangan baharu yang menumpukan kepada hak-hak Sabah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Beliau menjelaskan bahawa manifesto penuh ‘Sabah First’ akan diumumkan selepas penamaan calon yang dijadualkan Sabtu ini.
“‘Sabah First’ ini akan berasaskan kepada hak-hak Sabah dalam Perlembagaan, Persekutuan dan MA63, yang mesti diputuskan oleh rakyat Sabah, oleh parti Sabah, oleh kerajaan Sabah tanpa memerlukan lagi pandangan-pandangan di luar sana,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, beliau memaklumkan UPKO akan mengadakan Jelajah ‘Sabah First’ di seluruh negeri yang melibatkan calon-calon parti, bahagian-bahagian UPKO dan penyertaan rakyat Sabah sendiri.
Dalam masa sama, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan 13 perkara MA63 yang telah diselesaikan, namun menegaskan bahawa masih banyak isu belum ditunaikan sepenuhnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

