KUALA LUMPUR: Kegagalan parti politik alternatif untuk membuktikan integriti menjadi punca sebahagian besar pengundi Melayu dilihat seolah-olah 'kembali' menyokong pemimpin yang dikaitkan skandal rasuah.
Presiden Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, situasi itu bukan bermakna orang Melayu menyokong perbuatan rasuah, sebaliknya ia merupakan manifestasi kekecewaan terhadap landskap kepimpinan negara secara keseluruhan.
Menurut beliau, pengundi kini berada dalam fasa meluat kerana melihat tiada perbezaan ketara antara pemimpin lama dan pemimpin baharu yang sebelum ini menjanjikan perubahan.
Mengulas kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini meskipun dihimpit isu integriti, Ibrahim berpandangan rakyat sebenarnya mula merasakan semua pemimpin mempunyai karakter yang sama.
“Satu sebabnya, orang Melayu sudah mula tidak percaya kepada pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Rakyat melihat, ‘Alah, pilih siapa pun serupa saja. Semua rasuah’.
“Waktu belum ada jawatan, semua cakap soal perjuangan. Bila dah dapat jawatan, jadi tidak bertanggungjawab. Rakyat dah naik muak,” katanya dalam program audio siar, The Tiger Show Podcast, pada Khamis.
Tambah Ibrahim, sentimen negatif itu tidak hanya terarah kepada parti nasionalis, malah turut melibatkan parti yang membawa imej agama namun gagal menunjukkan tadbir urus bersih selepas memegang kuasa.
“Sama juga dengan mereka yang membawa obor Islam. Cakap Islam… tapi bila dapat kuasa, sama sahaja. Jadi rakyat rasa siapa pun jadi pemimpin, tidak banyak akan berubah,” ujar veteran politik itu.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, Ibrahim mencabar kerajaan semasa untuk melaksanakan Akta Sabotaj Ekonomi Negara yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 50 tahun bagi pesalah rasuah besar.
Beliau menegaskan, selagi sistem perundangan tidak diperketatkan secara drastik dan pemimpin baharu tidak menunjukkan teladan yang berbeza, pengundi Melayu akan terus terperangkap dalam kitaran memilih pemimpin sedia ada atas dasar 'ketiadaan pilihan yang lebih baik'.