JOHOR BAHRU: Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menegaskan tiada mana-mana bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor terbubar setakat ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu seterusnya menafikan dakwaan kononnya 11 bahagian parti itu lumpuh susulan peletakan jawatan beramai-ramai pada Rabu.
Advertisement
Menurut beliau, sebarang peletakan jawatan melibatkan ketua bahagian, timbalan atau ahli jawatankuasa tidak membawa kepada pembubaran automatik, sebaliknya akan digantikan dengan individu lain yang masih setia dan komited terhadap perjuangan parti.
“Saya cukup yakin tiada mana-mana bahagian yang terbubar seperti dakwaan beberapa pihak. Setakat ini kita telah mengenal pasti ketua bahagian dan timbalan serta ahli jawatankuasa yang meletakkan jawatan dan mereka akan diganti.
“Zalimlah kami jika membenarkan pembubaran berlaku sedangkan setiap bahagian masih mempunyai ahli jawatankuasa serta ahli yang setia pada perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut menyifatkan dakwaan sentimen anti-Presiden parti di Johor sebagai tidak berasas, sambil menegaskan sokongan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal kukuh di negeri ini.
“Kami di Johor mempunyai sentimen positif terhadap Tan Sri Muhyiddin atas jasa beliau kepada rakyat. Sokongan terhadap kepimpinan beliau tetap utuh,” ujarnya.
Mengulas tindakan segelintir ketua bahagian yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat, Dr Sahruddin menyifatkannya sebagai cubaan berniat jahat untuk melemahkan Bersatu dan secara tidak langsung menjejaskan Perikatan Nasional (PN).
Pada Rabu, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Isa Ab Hamid, dilaporkan mendakwa 11 bahagian Bersatu Johor tidak dapat berfungsi selepas majoriti ahli jawatankuasa meletakkan jawatan.
Menurut beliau, keputusan sebulat suara itu menyebabkan bahagian terlibat tidak dapat menjalankan sebarang mesyuarat sekali gus menyaksikan pembubaran berlaku secara tidak langsung.
Sebelas bahagian yang didakwa terlibat ialah Labis, Mersing, Johor Bahru, Pulai, Pontian, Simpang Renggam, Pengerang, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Sembrong. - Sinar Harian