KOTA KINABALU: Semua pihak diingatkan agar tidak menangguk di air yang keruh dengan melaga-lagakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, perbezaan antara parti-parti politik adalah perkara biasa.

Malah, tegas Ketua Menteri Sabah itu, kerajaan negeri dipimpin GRS-BN berada dalam keadaan baik.

"Tiada masalah dengan Kerajaan GRS-BN. Kalau ada sedikit perbezaan itu biasa dalam politik.

"Jangan bimbang, dan jangan kita menyimbah minyak pada api... nanti semakin merebak," katanya.

Beliau berkada demikian ketika ditemui di dalam acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah mengajak semua pemimpin untuk bersatu hati dalam usaha membangunkan negeri Sabah.

"Kita kena bersatu hati, jangan bergaduh-gaduh," katanya.

Pada Persidangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Jumaat lalu, presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili mendakwa salah satu parti komponen BN terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Kenyataan Ongkili itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin BN termasuk pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sambil meminta Ongkili tidak bermain api dan memohon maaf dengan kenyataan itu, Bung Moktar mahu parti komponen dalam GRS itu menghormati BN dan tidak mengkhianatinya.