KANGAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak ada kena mengena dengan sebarang keputusan yang dibuat UMNO termasuk usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, sudah hampir 30 tahun beliau meninggalkan parti berkenaan.

"Saya sudah tinggal UMNO lama… 30 tahun sudah, jadi tidak ada kena mengena dengan UMNO," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar pada Isnin.

Pada Sabtu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO mungkin berdepan kesukaran untuk menarik golongan muda selepas usul dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan.

Keputusan tersebut juga jelasnya bertentangan dengan hasrat dan aspirasi golongan berkenaan yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan termasuk dalam isu memilih pemimpin.