POLITIK
Tidak mahu jadi pembangkang, MCA dinasihatkan sabar - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan berkata, menjadi pembangkang tidak memberikan sebarang faedah, sebaliknya hanya melemahkan kedudukan parti dalam landskap politik negara. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: MCA dinasihatkan untuk sabar dalam menempuh perjuangan politik terutamanya isu ketidaksefahaman dengan DAP yang turut menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menjadi pembangkang tidak memberikan sebarang faedah, sebaliknya hanya melemahkan kedudukan parti dalam landskap politik negara.
Menurutnya, sekiranya BN memilih untuk keluar daripada gabungan kerajaan, jumlah kerusi blok kerajaan hanya akan berkurang kepada 123, namun kerajaan tetap akan berdiri.
"Kalau kita keluar pun, 153 tolak 30 tinggal 123. Kerajaan ini masih berdiri. Tapi kita jadi pembangkang. Apa faedah nak jadi pembangkang? Tak ada walau satu sen pun faedah."Jadi saya harap MCA bersabar atas dugaan-dugaan. Saya tahu bahawa mereka tidak sefahaman dengan DAP, itu antara puncanya," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Asean TVET Friendly Match 2025, di sini pada Isnin.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, matlamat utama sesebuah parti politik yang menyertai pilihan raya adalah untuk menang dan membentuk kerajaan, bukan menjadi pembangkang.
"Kita tak mahu jadi pembangkang. Itu perkara pokok bila kita masuk dalam sesuatu pilihan raya. Kita ingin menang dan jadi kerajaan," ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi MCA Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa hampir semua ketua MCA bahagian bersetuju untuk menarik sokongan daripada kerajaan Madani, namun kekal dalam BN.
Keputusan itu menurutnya, adalah demi kelangsungan MCA dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami