KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilapor mendahului kutipan undi di Parlimen Tambun.

Sehingga jam 8.20 malam, Ahmad Faizal yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menerima 2,652 undi, mendahului tiga calon yang lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima 321 undi, di kedudukan ketiga, ketinggalan di belakang calon Barisan Nasional (BN), Aminuddin Md Hanafiah (1,237 undi).

Seorang lagi calon, Abdul Rahim Tahir (Pejuang) turut menerima 321 undi.

Bagaimanapun, keputusan tidak rasmi ini hanya melibatkan 4,531 undi daripada keseluruhan 160,558 pengundi berdaftar.

Di utara tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad ketinggalan jauh di belakang tiga pesaingnya apabila hanya mendapat 222 undi setakat jam 8.30 malam.

Calon BN, Armishah Siraj mendahului dengan 1,693 undi diikuti rapat calon PN Mohd Suhaimi Abdullah dengan 1,400 undi.

Astro AWANI akan membawakan perkembangan mutakhir keputusan PRU15 dari semasa ke semasa.