FRANKFURT: Rekod 1.51 juta pelancong bercuti menaiki kapal persiaran dari pelabuhan di Jerman tahun lepas, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pejabat Statistik Persekutuan memaklumkan jumlah penumpang kapal persiaran dari Jerman meningkat 4.1 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Angka itu diumumkan beberapa minggu selepas wabak hantavirus di atas sebuah kapal persiaran kendalian Belanda di Lautan Atlantik menjadi tajuk utama dunia susulan kematian tiga penumpang dan beberapa lagi jatuh sakit.
Puluhan penumpang kini dikuarantin di negara masing-masing selepas dievakuasi dari Kepulauan Canary awal bulan ini.
Jumlah penumpang kapal persiaran merosot mendadak di seluruh dunia pada 2020 akibat pandemik koronavirus, namun sejak itu kembali pulih. Angka terkini di Jerman adalah 13.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelum pandemik pada 2019.
Di seluruh Kesatuan Eropah (EU), seramai 8.73 juta orang menaiki kapal persiaran pada 2024 menurut data Eurostat. Kebanyakannya berlepas dari Itali, diikuti Sepanyol dan Jerman.
Bagi analisis di Jerman, Pejabat Statistik Persekutuan yang berpangkalan di Wiesbaden hanya mengambil kira kapal persiaran yang menawarkan pengalaman pelancongan semata-mata.
Pelayaran sungai tidak termasuk dalam analisis itu, manakala kapal yang beroperasi sebagai feri biasa serta kapal kargo yang mempunyai beberapa kabin turut dikecualikan.
-- BERNAMA-dpa