Tindakan keluar parti yang melibatkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah hanya melibatkan tidak sampai 30 peratus daripada keseluruhan 45,000 ahli di negeri itu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, perkara terbabit berpunca daripada sikap kecewa susulan tidak dipilih dalam pemilihan bahagian masing-masing.

Selain itu, katanya, mereka juga mengambil pendekatan menyokong parti baharu ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apabila saya melihat angka yang keluar parti ini di bahagian-bahagian saya mendapati mereka ini merajuk dan kecewa akibat (kalah) dalam pertandingan parti," katanya.

Tambah Mohd Suhaimi, angka terbabit tidak membimbangkan kepimpinan Bersatu di Kedah dan pihaknya kini sedang giat meningkatkan kerjasama antara pemimpin dan akar umbi dalam menjadikan parti itu sebagai sebuah parti yang kuat di negeri Jelapang Padi.

"Setakat ini saya tidak mahu skeptikal. Saya ingin nyatakan bahawa, belum sampai 30 peratus lagi yang keluar parti.

"Daripada statistik yang saya pantau minggu ke minggu itu, melihat berapa yang keluar daripada tiap-tiap bahagian, dan semua ketua bahagian atau pemangku ketua bahagian memberi laporan kepada saya setiap minggu.

"Saya wajibkan mereka hantar laporan supaya saya dapat membuat pemutihan serta mengetahui berapa banyak yang keluar daripada parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Santai Bersatu di Kampung Permatang Berangan, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Suhaimi menegaskan pihaknya telah membentuk jawatankuasa penaja di beberapa bahagian di Kedah iaitu Merbok, Kuala Kedah, Jerlun, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Ia memandangkan, persidangan parti tidak dapat dijalankan di bahagian tersebut susulan 'tidak mendapat kerjasama' daripada bekas-bekas kepimpinan dan ahli Bersatu.

Bersatu Kedah kini hanya memiliki empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Juhari Bulat (Ayer Hangat), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), dan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Cempedak).

Ia selepas beberapa pemimpin tertinggi termasuk Dr Mahathir (Ahli Parlimen Langkawi), Ahli Parlimen Jerlun dan Ahli DUN (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Ahli Parlimen Kubang Pasu dan ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah, mengambil keputusan menubuhkan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air.

BACA: Kerajaan PH, Bersatu Kedah masih kekal, pertukaran kerajaan hanya spekulasi

BACA: Pas sedia tadbir Kedah, ganti kerajaan PH, Bersatu

Sementara itu, Bernama memetik Mohd Suhaimi berkata, pihaknya bersyukur kerana hampir 1,000 perwakilan Armada dan Srikandi Bersatu Kedah menghadiri persidangan di sembilan bahagian untuk melaksanakan tanggungjawab memilih pimpinan sayap masing-masing di peringkat pusat pada 15 dan 16 Ogos lepas.

Katanya, jumlah itu menunjukkan Bersatu Kedah masih kekal kukuh dan setia bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan tanggungjawab bagi membawa wadah perjuangan memperkasakan bangsa Melayu dan bumiputera serta agama Islam.

Selepas sidang media terbabit, Mohd Suhaimi turut menerima 253 borang keahlian baharu untuk menyertai Bersatu.