KUALA LUMPUR:Sebanyak 12 Ketua UMNO Bahagian Kelantan menyokong tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurut mereka, tindakan yang diambil Ahmad Jazlan itu perlu dilihat sebagai peringatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak sama sekali memperkecilkan dan membuli UMNO.

"Kami 12 Ketua UMNO Bahagian negeri Kelantan menghormati keputusan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (dan) kami juga berdiri teguh di belakang beliau dalam apa juga keputusan dan arahan oleh beliau kepada kami bagi mempertahankan UMNO.

“Keputusan yang dibuat oleh beliau adalah satu keputusan yang berprisip dan tidak mementingkan diri demi mempertahankan maruah parti," kata kesemua 12 Ketua UMNO Bahagian Kelantan dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kesemua pemimpin itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kuala Krai, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Jeli, Kubang Kerian dan Machang.

Dalam masa sama, mereka berpendapat, pendirian yang diambil oleh Ahmad Jazlan itu membuktikan ahli
UMNO tidak takut kehilangan jawatan demi mempertahankan parti keramat itu.

"Pendirian yang dinyatakan oleh beliau amat jelas membuktikan bahawa ahli parti jangan takut kehilangan jawatan demi mempertahankan parti. Diharap agar pemimpin parti lebih berprinsip dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan hak-hak UMNO.

"Tindakan ini juga sebagai peringatan kepada parti Bersatu supaya jangan memperkecilkan dan membuli UMNO seolah-olah parti ini tiada maruah," kata kenyataan itu lagi.

BACA: Ahmad Jazlan umum letak jawatan Pengerusi MPOB

Pada Isnini, Ahmad Jazlan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi MPOB berkuat kuasa Rabu ini.

Peletakan jawatan itu dilakukan tidak sampai setahun beliau dilantik ke jawatan itu.

Ahli Parlimen Machang dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dilantik sebagai Pengerusi MPOB, 8 April lalu.

Pelantikan beliau adalah sebagai menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang telah berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Sebelum membuat keputusan itu, Ahmad Jazlan berkata, peletakan jawatan itu bagi menzahirkan prinsip enggan bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga memberikan tempoh sehingga hujung Januari ini untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan.

BACA: Ahmad Jazlan sedia lepas jawatan, tidak mahu kerjasama dengan PN