KUALA LUMPUR:Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa Rabu ini.

Peletakan jawatan itu dilakukan tidak sampai setahun beliau dilantik ke jawatan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, memaklumkan surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini.

"Pada hari ini, 4 Januari 2021, pukul 4 petang, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi MPOB yang berkuat kuasa mulai 6 Januari 2021," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Jazlan turut menzahirkan terima kasih kepada menteri atas kepercayaan yang telah diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Pengerusi MPOB.

"Saya juga menghargai segala kerjasama yang telah diberikan oleh ahli lembaga, pengurusan dan seluruh warga MPOB di sepanjang perkhidmatan saya bersama agensi ini.

"Didoakan semoga MPOB terus maju dan berdaya saing dengan membantu rakyat yang terlibat dengan komoditi sawit termasuk pemegang taruhnya," tambahnya.

Ahli Parlimen Machang dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dilantik sebagai Pengerusi MPOB, 8 April lalu. 

Pelantikan beliau adalah sebagai menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang telah berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

BACA: Ahmad Jazlan sedia lepas jawatan, tidak mahu kerjasama dengan PN

Ahmad Jazlan sebelum ini berkata beliau akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPOB bagi menzahirkan prinsip tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu akan dilakukan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Beliau memberikan tempoh sehingga hujung Januari ini untuk membubarkan Parlimen.