Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas adalah tindakan demi kepentingan diri masing-masing dan bukannya rakyat.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kedua-dua mereka dipercayai menerima tekanan dan perlu terus bersama Kerajaan Persekutuan hingga mereka sekali lagi berpaling tadah serta terpaksa menyokong PN.

"Kerajaan Sabah mengambil maklum mengenai pengumuman keluar parti oleh ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

"Alasan kedua-dua wakil rakyat kononnya mereka beralih sokongan demi rakyat serta hilang kepercayaan kepada Presiden UPKO hanyalah satu retorik untuk meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan melepaskan diri daripada kecaman pengikut dan pengundi," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.





Dr Yusof yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah menambah, semasa Pilihan Raya Umum 2018, Limus dan James bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi disebabkan kekalahan BN kepada PH di Putrajaya, mereka meninggalkan parti lama kerana mahu menyokong Warisan yang bekerjasama dengan PH.

Dedahnya, Limus mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat, Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta manakala James merupakan antara kontraktor yang mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sementara itu, Dr Yusof menegaskan Kerajaan Sabah masih kukuh dengan jumlah 45 kerusi DUN serta tindakan Limus dan James tidak akan menggugat kestabilan politik Sabah, malah agenda pembangunan negeri akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

"Semua wakil rakyat Kerajaan Sabah juga telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri untuk terus mentadbir negeri dan menuntut hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

"Saya sentiasa berhubung dan berbincang dengan ADUN Kerajaan Sabah. Saya tahu isi hati dan keyakinan mereka kepada kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah. Saya berkeyakinan penuh mereka kekal setia dan menjaga kredibiliti," katanya.