Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan tindakan beliau meninggalkan UMNO hari ini bukanlah sasuatu yang dibuat secara tergesa-gesa, tetapi setelah mengambil kira pelbagai aspek dan selepas berbincang dengan rakan-rakan UMNO yang lain.

Beliau yang dihubungi oleh Astro AWANI berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan tersebut kerana memikirkan masa depan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

“Dia macam ini, kita di Terengganu ini adalah sebagai pembangkang. Jadi bila jadi pembangkang kita tidak ada ruang untuk membantu kawasan-kawasan dan pengundi-pengundi. Tidak ada peruntukan dan sebagainya. Kerajaan di Pusat lain dan di negeri pula orang lain," kata beliau.

BACA: 'Terima ahli UMNO masuk Bersatu, Kit Siang dulu pun terima saya' - Tun Mahathir

BACA: Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti

BACA: Presiden UMNO, lepaslah jawatan... - Pemuda Kedah

Justeru jelasnya dalam tempoh enam bulan ini, beliau tidak dapat banyak membantu kebanyakan pengundi di kawasan beliau.

Rosol turut menegaskan bahawa kesemua wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membantu mereka.

“Jadi dalam tempoh enam bulan itu saya rasa saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dan saya memutuskan dan telahpun berbincang dengan rakan-rakan di Parlimen dan kita rasa kena ambil keputusan sama ada nak ikut Pas di negeri atau ikut PH di Pusat," tambah beliau.

Rosol turut mengesahkan rakan-rakannya dalam UMNO memahami dan merestui keputusan beliau itu.

Bagaimanapun beliau menolak sebarang tohmahan bahawa keputusan yang dibuat itu disebabkan atau dipengaruhi oleh unsur-unsur lain dari pihak tertentu.

“Saya tak terlibat dengan AMLA (Akta Pengcegahan Pengubahan Wang Haram), tak terlibat dengan isu integriti atau terlibat dengan jenayah.”

Walaupun bertindak keluar UMNO jelasnya, beliau mengakui tetap menyayangi parti itu selepas pelbagai jasa dan manfaat yang telah diberikan oleh parti itu selama ini kepada beliau.

“Meninggalkan parti bukan bererti bencikan parti (UMNO). Saya berterima kasih kepada UMNO yang membentuk saya, saya pernah menjadi Setiusaha Perhubungan dengan Datuk Idris Jusoh (bekas Menteri Besar), jadi semuanya kita buat dan kita meninggalkan legasi dengan mengembalikan semula UMNO (di Terengganu) dengan merampas pemerintahan daripada Pas," tambahnya lagi.

“Dalam keadaan sekarang kita terpaksa memilih mana yang lebih kurang mudaratnya. Sekarang ini kita (UMNO) tengok bahawa kita tidak mampu untuk kita berkhidmat. Kalau kita duduk dalam UMNO, bukan UMNO tidak baik, tetapi kita sayang pada rakyat kita."

Selain Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, lima lagi ahli UMNO turut mengumumkan untuk keluar parti itu hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.