KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani perlu dicadang sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussen Zulkarai berkata, kedua-dua pemimpin itu mempunyai kekuatan tersendiri dan berpotensi membantu BN meraih sokongan lebih besar daripada pengundi.
“Saya rasa poster boy Barisan Nasional kalau bertanding secara sendiri, boleh letak dua gambar iaitu (Datuk Seri Mohamad Hasan) Tok Mat dan juga Johari Ghani. Boleh letak dua, tidak ada masalah.
“Kalau BN mahu bergabung dengan Pas, saya minta pucuk pimpinan Pas cuba tanya siapa poster boy daripada BN.
“Tolong pastikan Tok Mat dan juga Johari Ghani. Pas jika bergabung mungkin akan mendapat majoriti kerusi yang lebih selesa,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan hari ini.
Hussen bagaimanapun menegaskan, cadangan itu bukan bertujuan menolak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya perlu dipertimbangkan demi masa depan parti.
“Kita bukan hendak menolak Presiden. Tidak. Tetapi untuk masa depan parti, bagaimana kita hendak membina semula kekuatan?
“Saya setuju dengan pandangan ramai, termasuk perwakilan dan orang bawahan. Kita bukan hendak menolak Zahid, tetapi poster boy tolong gantikan dengan Tok Mat dan Johari Ghani.
“Letakkan dua gambar ini sebagai poster boy, sama ada bergerak sendirian atau bergabung dengan pas,” katanya.
Menurut Hussen, pemilihan wajah utama untuk menghadapi pilihan raya penting kerana memberikan gambaran kepada rakyat mengenai individu yang berpotensi diangkat sebagai pemimpin negara.
Dalam masa sama, beliau berpandangan ucapan dasar Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 belum mencerminkan ucapan seorang bakal Perdana Menteri.
“Kita kena teliti sama ada ucapan itu ke arah membina parti. Kalau hendak sebut mengenai rakyat, semua parti memainkan isu rakyat.
“Apabila kita berdiri atas kapasiti sebagai Presiden, ucapan sepatutnya membuka minda perwakilan dan memberikan sesuatu untuk dibawa pulang serta dilihat semula,” katanya lagi.
Beliau turut berpandangan ucapan pemimpin parti perlu menawarkan hala tuju lebih jelas dan tidak terlalu tertumpu kepada sindiran atau cabaran terhadap pihak lain.
Mengulas ketiadaan Johari pada PAU 2026, Hussen berkata pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut dinantikan sebahagian perwakilan.
Johari tidak menghadiri perhimpunan berkenaan kerana menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak BRICS di India.