Skip to main content

Malaysia

Wajah Malaysia: Legasi gerai minuman 50 tahun, Syed Akir wajah muhibah Flat Kampung Melayu

 Wajah Malaysia, Syed Akil, gerai minuman Air Itam
Syed Akir berbangga apabila gerai tersebut seakan-akan menjadi saksi hidup hubungan penduduk berbilang kaum, usia dan latar belakang. - Foto Sinar Harian
Advertisement

GEORGE TOWN: Lebih empat dekad, nama Syed Akir Syed Ahmad bukan lagi asing dalam kalangan pelanggan di Medan Selera Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Pada usia 73 tahun, Syed Akir masih setia mengusahakan gerai minuman SS Tarbuih yang menjadi legasi perniagaan keluarga dimulakan bapanya, Syed Ahmad Tuan Ngah sejak 1976.

“Dulu saya kerja sebagai pegawai kewangan di sebuah bank cawangan Kampung Baru tetapi berhenti pada tahun 1980 untuk meneruskan perniagaan ayah.

“Ayah saya berniaga minuman untuk menyara keluarga, begitu juga saya. Saya membesarkan anak-anak dengan hasil jual air minuman ini,” katanya ketika ditemui.

Image
 Wajah Malaysia, Syed Akil, gerai minuman Air Itam
Ujar Syed Akir, ada pelanggan yang sanggup datang dari Bayan Lepas dan Bayan Baru. - Foto Sinar Harian

Menurutnya, dia dan arwah isteri, Suria Samad membesarkan empat anak iaitu Sharifah Sueinan, 46, Sharifah Sheezan, 44, Syed Ariezam, 42, dan Sharifah Shazrin, 36, daripada hasil perniagaan tersebut.

Ujar Syed Akir, ada pelanggan yang sanggup datang dari Bayan Lepas dan Bayan Baru.

“Walaupun kita berniaga sudah lama, pelanggan masih datang. Ada yang sudah kenal saya sejak dahulu dan sekarang anak-anak mereka pula datang beli.

“Itulah yang membuatkan saya terus berniaga. Bila pelanggan masih sokong, kita rasa dihargai,” katanya.

Syed Akir berbangga apabila gerai tersebut seakan-akan menjadi saksi hidup hubungan penduduk berbilang kaum, usia dan latar belakang.

Image
Wajah Malaysia

Genap 50 tahun gerai diusahakan bapanya itu, meja minum bukan sahaja menjadi tempat pelanggan menikmati hidangan tetapi ruang pertemuan pelbagai generasi pelanggan.

"Kami boleh satu meja, bertukar cerita dan bergurau. Walaupun mereka datang ke sini untuk menikmati minuman, namun hubungan itu terjalin hanya kerana gerai saya ini.

"Itu lah muhibah yang terbina sejak dahulu lagi. Gerai saya memang menjadi tumpuan, bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga," katanya.

Kini, perniagaan keluarga itu turut memasuki generasi kedua apabila anak keduanya mengusahakan gerai burger secara bersebelahan, manakala anak sulung menjual makanan Barat.

"Saya kekal dengan jualan air. Saya mahu meneruskan perniagaan ini selagi masih berdaya kerana menganggapnya sebagai satu amanah dan legasi keluarga,” ujarnya lagi.
 

Must Watch Video

Advertisement