PUTRAJAYA: UMNO menafikan dakwaan bahawa parti Melayu itu tamak untuk mendapatkan jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor selepas menyerahkan semula kuota 20 jawatan tersebut kepada parti sekutunya, Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan tersebut dibuat untuk bersikap adil kepada UMNO Selangor yang mempunyai 22 bahagian, namun hanya ditawarkan sebanyak 20 jawatan.

"Tidak timbul soal tamak dalam perkara ini, kerana kami ada 22 ketua bahagian. Jadi kalau ada yang dapat, dan tidak dapat, adalah lebih baik semua tidak dapat (jawatan ahli majlis PBT).

"Kita serahkan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bersama-sama dengan kami, walaupun kami di luar PBT,  kami akan tetap dukung dan menyokong program kerajaan negeri melalui PBT ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri MOT, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau telah mengadakan mesyuarat bersama 22 bahagian UMNO Selangor malam tadi.

Ujarnya, keputusan 20 ketua bahagian menolak jawatan itu wajar dihormati.

"Mereka tidak kecil hati dan kita mahu memainkan peranan secara bebas dan tidak duduk hanya sebagai ahli di PBT," jelasnya.

Sebelum ini, UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan PBT di negeri itu kepada PH.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, UMNO Selangor mahu sebanyak 373 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri tersebut diberikan kepada parti berkenaan.