KUALA LUMPUR: Perbincangan antara Top 5 UMNO yang berlangsung pada sebelah petang tadi telah berlangsung dengan baik, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam perkongsian terbaharu di laman media sosialnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kelima-lima mereka telah mencapai kesepakatan dalam isu yang dibincangkan.

Selain Mohamad, Top 5 yang lain ialah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan Top 5 parti tengah hari tadi berlangsung dengan baik. Dapat capai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak kehadapan,” katanya lagi.

Biarpun tidak memperincikan maksud ‘kesepakatan itu’, ia hampir pasti berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

Media difahamkan, perbincangan berkenaan tarikh itu juga dibawa ke mesyuarat Biro Politik selepas itu.

Ketika ini Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, masih sedang berjalan.