KUALA LUMPUR: Kesemua parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN) memberi sokongan penuh kepada gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Justeru Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua parti gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) disaran tidak perlu melayani pendapat individu termasuk tuduhan bahawa MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’

Jelas beliau, pendapat sedemikian boleh membawa persepsi bahawa parti di bawah BN tidak mempunyai tahap kebersamaan.

"Saya berasakan bahawa MCA, MIC, dan PBRS  (Parti Bersatu Rakyat Sabah) adalah gabungan bawah BN. Tentunya di dalam situasi seperti ini (menjelang PRN), tidak perlu ada isu-isu yang dibangkitkan kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pemimpin daripada pelbagai parti tentunya tidak dialu-alukan.

"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin utama parti, tidak 'endorsed' (diperakui) kepada pendapat peribadi yang begitu.

"Begitu juga parti-parti di dalam BN, kami berasakan kita janganlah melayani pendapat-pendapat individu itu dan ini akan dipersepsikan bahawa kita tidak ada tahap bekersamaan dan saya ucapkan terima kasih kerana kepimpinan utama MCA, MIC, dan PBRS yang memang mendokong PRN yang akan sama-sama kita hadapi ini," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan seminar Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik 2023.

Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa menyarankan agar parti itu memulau PRN di enam negeri dengan tidak meletakkan calon dan tidak membantu mana-mana calon yang sombong selepas BN berkawan dengan DAP.

Kenyataan itu menyusul selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam didakwa menuduh MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’ yang dipikul UMNO kerana tidak mampu meraih sokongan Cina dan Melayu untuk menyokong BN.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ketika ini kerjasama antara BN dan PH berada pada tahap yang terbaik bagi mendepani PRN.

Tegasnya lagi, semua pihak berpegang kepada pendirian rasmi kepimpinan utama setiap parti.