DUNGUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya yang meramalkan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan 5-1 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Menurut Perdana Menteri, itu hanya sekadar jangkaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

"Dia rasa mereka (PN) akan menang 5-1, itu jangkaan dia, masa dia bertanding di Langkawi dulu (Pilihan Raya Umum ke-14), dia kata boleh menang besar.

"Tapi bila keluar keputusan, dia hilang deposit. Sekarang dia kata mereka akan menang 5-1.Belajarlah dari pengalaman, bila dia kata menang besar, dia hilang deposit.

"Insya-Allah kejutan akan berlaku dalam PRN kali ini," katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, pada Jumaat.

Media melaporkan, Dr Mahathir ketika berucap pada Perhimpunan Hari Perniagaan Sosial ke-13 di Pelangi Beach Resort and Spa Langkawi, Kedah pada Jumaat berkata, PN mempunyai potensi baik untuk mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu, Kedah dan merampas Selangor serta Negeri Sembilan namun tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

Katanya, ia berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihatkan daripada kalangan pengundi yang lanjut usia, khususnya orang Melayu di luar bandar.