KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan kekayaan yang didakwa diraih ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbirannya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Anwar merupakan salah seorang daripada pemimpin lama yang turut dituduh membantu kroni.

“Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia (Anwar) punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada, dedahlah dan cajlah di mahkamah.

“Tetapi tidak. Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.

“Dedahlah kekayaan di masa jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan,” kata Dr Mahathir menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyatakan kesediaannya jika Anwar menunjukkan sebarang bukti berhubung kekayaan peribadi yang didakwa diraih olehnya ketika menjadi Perdana Menteri.

“Di mahkamah, tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu, pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia.

“Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” tegas Dr Mahathir.

Pada minggu lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Dr Mahathir merujuk kepada ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: "Pelaksanaan Sebuah Idealisme" pada Mac lalu.