KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi bayangan tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri interim susulan perkembangan politik semasa ketika ini.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, fokus Pejuang ketika ini adalah untuk mengatasi krisis kesihatan yang melanda negara.

Tegasnya, beliau tidak mahu terlibat dengan sebarang bentuk ‘percaturan’ politik yang berlaku sekarang.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk menguruskan pandemik yang kami fikir penting untuk diselesaikan. Jadi sama ada beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turun atau tidak atau apa saja berlaku kepadanya, itu disebabkan kekeliruan politik yang berlaku di negara ini.

“Semua orang nak jadi Perdana Menteri. Apa yang mereka fikirkan adalah berapa banyak wang yang mereka boleh dapat, itu sahaja.

BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi

“Mereka tidak berminat untuk berkhidmat atau menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.

Mengulas lanjut pendirian Pejuang dengan situasi politik sekarang terutama selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Ahli Parlimen Langkawi itu sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan terlibat dengan politik pihak terbabit. 


Keputusan MKT UMNO | UMNO desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Perdana Menteri

Bahkan, tegasnya, Pejuang terus konsisten mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara yang akan disertai individu berpengalaman dalam pelbagai bidang.

“Waktu ini bukan masa untuk politik. Waktu ini masa untuk menghadapi masalah rakyat. Jika tidak dibuat sesuatu, bilangan yang kes baharu (COVID-19) akan meningkat lagi.

“Hari ini sudah naik 8,000 kes. Kita tak boleh jamin bahawa ia tidak akan naik kepada 10,000 ke 12,000 kes. Kini kita jadi antara negara yang teruk sekali di seluruh dunia, ini hasil daripada kerajaan yang tidak cekap.

“Sebab itu kami tidak akan kerjasama dengan kerajaan tapi kerajaan patut beri kebenaran kepada kami untuk menubuhkan badan ini supaya rakyat dapat diselamatkan,” ujarnya.

Sebelum ini, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan untuk dipilih sebagai Perdana Menteri interim jika negara sekali lagi berdepan krisis politik.

BACA: Demi kepentingan rakyat, Ku Li sedia jadi PM Interim

Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berpendapat, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab tersebut jika ia dibuat demi kepentingan rakyat.

Pada 24 Februari tahun lalu, Malaysia buat pertama kalinya mempunyai Perdana Menteri Interim apabila Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima peletakan jawatan itu, bagaimanapun kemudiannya telah berkenan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Pelantikan itu sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.