Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan hadir ke Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia pada 28 Mac ini di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah.

Himpunan berkenaan adalah rapat umum anjuran Pakatan Harapan bagi menuntut tiga perkara termasuk menuntut reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Penyelaras Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia berkata pengesahan kehadiran Dr Mahathir itu diberikan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyelaraskan program bagi pihak Tun.

Terdahulu dalam satu sidang media dianjurkan Muafakat Selamatkan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohamad Sabu berkata pihak sekreteriat telah memanjangkan jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Afdal dengan tarikh yang ditetapkan sebelum ini pada 23 March 2016 di Padang MPAJ.

"Untuk menyesuaikan jadual Muafakat Selamatkan Malaysia dengan semua pimpinan Pakatan Harapan, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tokoh-tokoh lain, tarikh yang dimuktamadkan adalah pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam," menurut kenyataan itu.

Semua pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dijangka akan menyertai siri jelajah himpunan berkenaan termasuk pemimpin-pemimpin veteran yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat.