KUALA LUMPUR: Pengurusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pendirian berhubung mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Presiden UMNO itu turut membidas pertikaian pembangkang untuk mengadakan PRU semasa bulan November atau Disember yang sememangnya diketahui fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang bencana banjir di beberapa kawasan.

Kata Ahmad Zahid, PRU pernah diadakan pada bulan November 1999 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia tidak pula dijadikan isu besar oleh pembangkang.

"Terbaharu tahun lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.

"Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Tun Dr Mahathir tidak mahu serah jawatan kepada Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), selain manifesto mereka gagal laksanakan.

"Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.


Tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN yang memberikan mereka kelebihan  menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.

Jelasnya, pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung dan bermakna BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran parlimen dan pilihan raya umum.

"Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.

"Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan  BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Timbalan Presiden PKR) tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

"Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata," ujarnya.

Pada Sabtu, semasa berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, Ahmad Zahid berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

BACA: Jentera Pemuda BN sedia redah banjir hadapi PRU15 - Zahid

Ahmad Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Bagaimanapun pada Ahad, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyelar kenyataan itu dengan berkata, pelaksanaan PRU15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU15.