Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan akan menubuhkan parti baharu yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Tegasnya, ia berbeza dengan parti Melayu dan Pribumi lain yang dikatakan telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

"Di dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa.

"Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak
kerjasama yang ikhlas dan berprinsip.

"Dengan ini kami juga akan pastikan yang rakyat Malaysia dari kaum-kaum yang lain juga akan
mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya," katanya semasa sidang media pengumuman parti baharu di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu katanya, parti baru itu tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

"Asas perjuangan kami masih dengan menghapus rasuah dan kleptokrasi. Ahli hendaklah pegang kepada perjuangan ini.

"Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan.

"Ahli dan pegawai parti hendaklah terima dan amal peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan
aturan peraturan parti,"

Selain itu katanya, satu jawatankuasa disiplin akan ditubuh untuk menentukan undang-undang dan peraturan parti dikuatkuasakan nanti.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, parti baharu itu akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos ini.

Bagaimanapun jelasnya, parti itu tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana hubungan dengan Warisan.

"Pada masa ini kita tidak membuat sebarang keputusan lagi namun kita ada perhubungan baik dengan Warisan dan kita akan serahkan semua kepada mereka," ujarnya.

Ketika ditanya disiapakah presiden parti baharu itu, Dr Mahathir menjelaskan, ia akan dijawat Mukhriz dan beliau pula akan menjadi pengerusi parti.