POLITIK
Ucapan selamat ulang tahun PM di sekolah, Rafizi tegur Menteri Pendidikan

Rafizi turut menegaskan bahawa beliau sendiri amat berhati-hati apabila berurusan dengan sekolah sepanjang menjadi wakil rakyat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menegur tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang dilihat mengajak murid-murid sekolah mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi berkata, walaupun menteri berkenaan mempunyai hak untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, murid sekolah tidak sepatutnya dilibatkan dalam sebarang mesej atau aktiviti berunsur politik.
“Jangan kita campur adukkan kehendak dan kemahuan kita dengan pendidikan kanak-kanak. Kalau dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid,” katanya dalam kenyataan di media sosial miliknya pada Selasa.
Menurutnya lagi, tindakan sebegini berisiko mencetuskan amalan yang tidak sihat, apabila Menteri Pendidikan pada masa hadapan pula berbuat perkara sama bagi menyatakan taat setia kepada pemimpin lain.
“Sekolah tidak boleh campur adukkan dengan politik dan pandangan peribadi kita. Kalau orang lain buat, saya akan marah. Tapi kini bila Menteri Pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu,” tegasnya.
Rafizi turut menegaskan bahawa beliau sendiri amat berhati-hati apabila berurusan dengan sekolah sepanjang menjadi wakil rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami