KUALA LUMPUR: Tindakan tentera siber upahan yang didakwa menyerang dan mengugut Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan institusi kehakiman perlu diambil tindakan segera.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Kamil Munim berkata perkara itu jelas memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi melindungi keselamatan Ketua Hakim dan institusi kehakiman itu sendiri.

"Sandiwara Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dijadikan modal bagi penyokong beliau untuk terus menyerang institusi kehakiman.

"Hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama tidak pernah dinafikan sama sekali.

"Tetapi percubaan untuk mengheret semua pihak termasuk mahkamah dan sistem keadilan untuk mengikut rentak dan kehendak pihak tertentu adalah sesuatu yang melampau dan tidak menghormati sistem keadilan dan institusi kehakiman," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang memohon agar diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan kes SRC International turut ditolak.