UMNO akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya jika ada anggotanya yang didapati terlibat dalam insiden membakar bendera DAP di Pulau Pinang. Selasa.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kes itu kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak mengetahui siapa yang terlibat, ia bukan sikap UMNO untuk melakukannya (membakar bendera). Sama ada betul atau tidak anggota UMNO terlibat, kita tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Jom Shopping Raya dan majlis berbuka puasa anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Jakel Mall di sini, Rabu.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Tengku Adnan diminta mengulas insiden sekumpulan lelaki membakar bendera DAP di bawah bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) semalam kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang merobohkan struktur logo UMNO di Menara UMNO di negeri itu minggu lepas.

Sementara itu, mengenai program Jom Shopping Raya, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata 500 anak-anak yatim dan golongan miskin dari Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima sepasang baju raya sumbangan 12 UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, program tahunan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu merupakan inisiatif untuk menggembirakan golongan anak yatim dan meringankan beban golongan miskin.