Skip to main content

Politik

UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU akan datang

[TB]_mesyuarat UMNO 2_ASTRO AWANI
Jelas Asyraf Wajdi, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan. - Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga pilihan raya akan datang.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

“Ini merupakan pendirian daripada awal dan kita konsisten sehingga hari ini,” kata Asyraf dalam satu sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor terbentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan.

“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan hakikatnya tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Tambah Asyraf, UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Jelasnya, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” ujarnya.

UMNO juga, menurut Asyraf Wajdi, terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan politik negara serta kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, sebarang bentuk kerjasama politik yang ingin diwujudkan perlu berlandaskan prinsip keikhlasan dan kepercayaan.

“Apa jua bentuk kerjasama mestilah dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” tegasnya.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Datuk Mohamad Alamin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.

Must Watch Video

Advertisement