KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi desakan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu, beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sentiasa konsisten mahukan PRU15 diadakan segera terutamanya selepas imuniti kelompok berjaya dicapai.

"Bila lagi? Kita konsisten dan istiqamah menuntut (PRU15) kerana kita menghormati mandat rakyat.

"Kita mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan rakyat bukan melalui percaturan politik.

"Garis masa itu ketika Pakatan Harapan (PH) dibubarkan dan semua dari kita tidak terkecuali mahu pilihan raya diadakan dan kita mahu pulangkan mandat itu kepada rakyat. Kita konsisten sejak dari awal lagi lagi," kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya.

Dalam masa sama, beliau menyeru kepada semua ahli UMNO sama ada yang berada dalam kerajaan atau luar kerajaan supaya menjadi sebuah keluarga besar.

"Jangan ada kluster, kita hanya ada satu kluster sahaja iaitu kluster UMNO. Cubit paha kiri paha kanan terasa," jelas beliau lagi.