KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat berhati-hati mengatur langkah politik bagi memastikan parti itu tidak dipersalahkan sekiranya kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Persekutuan berakhir.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub berkata, UMNO enggan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, kerana mahu mengelak persepsi kononnya parti berkenaan sengaja meninggalkan kerajaan demi kepentingan kuasa.
Menurut Mohammad Tawfik, sebaliknya UMNO mahu dikeluarkan atau 'diusir' daripada Kerajaan Perpaduan supaya mereka dapat membina naratif yang boleh membantu strategi politik dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"UMNO sangat berhati-hati dengan pendekatan ataupun strategi politik. UMNO tidak mahu dipersalahkan. Kalau keluar daripada Kerajaan Perpaduan, mereka mahu dikeluarkan daripada Kerajaan MADANI, bukan menarik diri daripada kerajaan.
"Apabila dikeluarkan daripada kerajaan, itu akan menjadi satu bola tanggung pula kepada UMNO dan Barisan Nasional, kini mereka ada naratif politik baharu yang boleh diberikan kepada akar umbi.
"Iaitu UMNO dan Barisan Nasional dianiaya ataupun tidak diterima lagi dalam sebuah kerajaan yang berada di peringkat Putrajaya hari ini," kata Tawfiq dalam satu temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.
Tambah Mohammad Tawfik, kritikan terbuka pemimpin UMNO terhadap PH, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerjasama Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, boleh dilihat sebagai sebahagian strategi politik parti itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Hamidi mengesahkan parti itu akan bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, kerana mahu menghormati pendirian, meskipun terdapat perselisihan pandangan ketika ini.
Kata Mohammad Tawfik lagi, percaturan politik menjelang PRU16 turut melibatkan usaha mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan penambahan kerusi Parlimen.
"Kalau kita lihat di sebelah PH pula, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka ada percaturan tersendiri, sebab itu mereka berbaik begitu erat dengan Sabah dan Sarawak.
"Bukan sahaja peruntukan ditambah kepada Sabah dan Sarawak, tetapi pada waktu sama juga akan menambah bilangan kerusi parlimen berdasarkan persefahaman yang kita lihat," jelasnya.
Pada Jumaat, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penambahan wakil Parlimen dari Sabah dan Sarawak, dengan memastikan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu dipertingkatkan berbanding kedudukan semasa.
Perkara itu mengambil kira semangat asal MA63 yang memperuntukkan nisbah satu pertiga bagi Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum penyertaan Singapura berakhir pada 1965.