POLITIK
UMNO perlu persiapkan pemimpin penuhi harapan pengundi

Johari berkata, untuk kekal relevan, UMNO perlu bersikap lebih dinamik dan terbuka khususnya dalam landskap politik negara yang semakin mencabar. - Gambar fail
SEREMBAN: UMNO perlu mempersiapkan pemimpin berwibawa, berprinsip dan diyakini, yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum seperti yang diharapkan pengundi hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, harapan pengundi khususnya golongan muda sangat tinggi terhadap pemimpin yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi bersifat terbuka, telus serta mempunyai integriti dan kredibiliti.
"Apa lagi mereka (pengundi) mahukan... mereka mahu pemimpin mempunyai pengetahuan dalam negara dan luar negara, beri komitmen dalam soal alam sekitar dan hutan belantara.
"Ini adalah hakikat, harapan pengundi muda sangat tinggi... mereka mahu pemimpin berwibawa, berprinsip, dia nak pemimpin yang boleh dipercayai... pemimpin yang boleh meningkatkan silaturahim semua kaum," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban, di sini, pada Ahad.Johari berkata, untuk kekal relevan, UMNO perlu bersikap lebih dinamik dan terbuka khususnya dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
"UMNO perlu menerima hakikat bahawa untuk meraih majoriti kukuh bukan mudah kerana pengundi mempunyai ideologi yang berbeza-beza.
"Jangan ingat hanya kita yang berkuasa, ada dalam keadaan perlu berkongsi kuasa, kita perlu terima hakikat dunia hari ini sudah berubah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami