UMNO tidak akan menjadi ‘boneka’ mana-mana parti - Khaled Nordin

UMNO tidak akan menjadi ‘boneka’ kepada mana-mana parti politik, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Facebook Khaled Nordin
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan menjadi ‘boneka’ kepada mana-mana parti politik, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ringkasan AI
- UMNO menegaskan bahawa mereka tidak akan menjadi 'boneka' kepada mana-mana parti politik, dengan menekankan kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu sebagai faktor penting dalam peranannya dalam politik Malaysia.
- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memberi respons terhadap dakwaan yang menyatakan UMNO hanya mengikut arahan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan, dengan harapan pengundi Melayu tidak menarik sokongan terhadap UMNO.
- Mohamed Khaled turut menasihati agar politik diurus secara sederhana, pragmatik, dan strategik, serta menekankan kepentingan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan negara.
Kenyataan Khaled dipercayai sebagai respon kepada dakwaan bahawa kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak dominan dan sekadar mengikut telunjuk parti komponen lain.
Pada masa sama Mohamed Khaled berharap agar sebahagian pengundi Melayu untuk tidak menarik sokongan terhadap UMNO sambil mengakui kekhilafan parti itu dalam menghadapi suasana politik negara sebelum ini.
“Langit mana yang tidak gelap mendung dan tiada suramnya, tetapi cukuplah hukuman orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.
Beliau turut berharap agar tiada kerajaan yang tertubuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tanpa UMNO sebagai sebahagian parti dalam pentadbiran.
“Sesiapa sahaja akan memerlukan UMNO untuk mengurus Malaysia, UMNO akan menjadi pelekat kepada kejelekitan Malaysia,” katanya lagi.
Pada PRU 15 UMNO hanya memenangi 26 kerusi daripada 222 kerusi keseluruhan apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Pas dan Bersatu berjaya memenangi 73 kerusi.
Dalam ucapan yang sama Mohamed Khaled turut menasihati para perwakilan agar terus menyokong politik secara sederhana, pragmatik dan strategik serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Politik yang beremosi dan terlalu dramatik itu tidak akan membawa orang Melayu ke mana-mana,” katanya lagi.
Malah menurutnya, sentimen melibatkan kaum dan agama telah dieksploitasi dan dipolitikkan secara keterlaluan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


