UMNO tidak menghalang mana-mana anggota untuk menyertai Gerakan Baju Merah yang dianjurkan ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos, ujar Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun tegasnya, setiap tindak-tanduk peserta himpunan kumpulan itu adalah mewakili pendirian peribadi dan bukan atas kapasiti parti.

"Tidak, kami tidak menghentikan mereka (ingin menyertai baju merah). Begini, kebanyakan peringkat akar umbi UMNO tidak gembira dengan Bersih, dan UMNO ada sesetengah pula yang mahu menyertai Baju Merah. Pendirian itu adalah melibatkan peringkat peribadi bukan organisasi (parti UMNO)," katanya semasa ditemui media di lobi parlimen.

Menurutnya, UMNO setakat ini tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung kesan Gerakan Baju Merah kepada parti.

Namun katanya, parti tidak akan menyokong mana-mana tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan (menyertai Baju Merah) kerana ia atas kapasiti peribadi. Bezakan antara peribadi dan organisasi (parti)," tegas beliau.

Ditanya apakah peringkat kesalahan Baju Merah yang boleh menjejaskan UMNO, ini jawapan beliau:

"Mudah. Kita ada undang-undang dan polis telah memberi penjelasan baik kepada baju kuning atau merah, dan apa yang saya tahu ia (himpunan) itu adalah illegal dan tidak dibenarkan polis. Jadi sesiapa yang mahu langgar undang-undang itu, mereka perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka."

Beliau pada masa sama yakin DAP juga tidak akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menyertai Bersih, sebaliknya pemimpin parti itu terus menggalakkan lagi mereka untuk turut serta dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan polis pada 19 November ini.

Justeru Annuar berkata, tiada sebab untuk parti itu untuk menghalang anggotanya menyertai mana-mana himpunan kerana ia adalah hak peribadi masing-masing.

"Kenapa pula kita nak halang mana-mana individu untuk melakukan sesuatu yang mereka mahu lakukan? Jadilah law abiding citizen," katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, baik himpunan kumpulan Baju Merah atau Baju Kuning, mana-mana kumpulan yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan tegas.

Bersih 5 dijangka tetap diadakan pada 19 November ini dan pada masa sama dibimbangi akan turut menyaksikan pertembungan dengan Gerakan Baju Merah yang dianjurkan ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunus.