UMNO tidak perlu mewujudkan Majlis Ulama sepertimana yang telah dilakukan oleh PAS kerana khuatir akan berlaku perpecahan dalam parti, kata Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah.

Menurut beliau, jika Majlis Ulama ditubuhkan ia seolah-olah memberikan persepsi bahawa selama ini UMNO tidak menghargai dan menyisihkan peranan golongan ulama di negara ini.

"Mengapa kita (UMNO) nak tiru apa yang telah PAS buat, lagi pun selama ini UMNO tidak pernah pun meminggirkan golongan ulama dan tokoh-tokoh agama.

"Majlis Ulama PAS sekarang ini pun sedang bergolak sehingga mengatasi kuasa kepimpinan parti (presiden), mengapa pula kita nak tiru acuan mereka?" tegasnya dalam catatan terbaharu di http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Tambah beliau, hari ini PAS sedang berdepan dengan krisis kepimpinan serius apabila Majlis Ulama dengan kuasa mereka mahu memecat Timbalan Presiden parti.

Malah tegas Syed Mehdhar, perjuangan UMNO selama ini sudah jelas iaitu memperkasakan syiar dan syariat Islam sehingga kedudukannya tidak boleh dipertikaikan lagi sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, falsafah penubuhan UMNO ialah berteraskan kepada perjuangan masa depan orang Melayu, mengekalkan kedaulatan negara dan mempertahankan kesucian syariat agama Islam.

Oleh sebab itu katanya, UMNO mengiktiraf dan menghargai peranan dimainkan oleh golongan ulama termasuk guru-guru agama dalam menjana pembangunan umat Islam di Malaysia.

"Sejak sekian lama UMNO tidak ada Majlis Ulama, tetapi terbukti UMNO telah berjaya mengangkat martabat dan kedudukan golongan ulama di negara ini," katanya.

Sehubungan itu tegas beliau, UMNO tidak perlu untuk menubuhkan Majlis Ulama kerana cadangan tersebut seolah-olah menidakkan perjuangan UMNO yang selama ini telah berjuang menegakkan syiar Islam.

"Pada hemat saya, cadangan menubuhkan Majlis Ulama UMNO tidak relevan, lagi pun UMNO selama ini tidak pernah menyisihkan golongan ulama, pemikir agama termasuk guru-guru pondok, malah sentiasa berusaha mengangkat kedudukan mereka," tegasnya.

Katanya lagi, UMNO sentiasa membuka peluang kepada golongan berkenaan untuk bersama parti termasuk dalam jentera pentadbiran kerajaan.

"Hari ini terbukti, UMNO telah berjaya melahirkan generasi baru yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ada di kalangan mereka mendapat tempat dalam parti," tegasnya.

Beliau menolak cadangan Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya yang menyarankan UMNO mewujudkan Majlis Ulama sebagai platform utama dalam perjuangan menegakkan syiar Islam sekaligus menepis dakwaan mengatakan parti itu meminggirkan golongan ulama.

Fathul Bari yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam kenyataannya turut berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan semula oleh pihak dalam parti.

Mengulas lanjut, Syed Mehdhar berkata cadangan menubuhkan Majlis Ulama UMNO hanya akan mencetuskan ruang perpecahan di kalangan ahli parti.

"Kita tidak mahu berlaku pertindihan kuasa dalam UMNO yang akhirnya akan menjuruskan kepada percanggahan yang boleh membawa keretakan kepada parti," ujarnya.

Menurut beliau, penubuhan Majlis Ulama UMNO juga dikhuatiri mewujudkan puak-puak tertentu sehingga akhirnya golongan ini akan menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk agenda mereka.

"Saya bimbang jika majlis tersebut ditubuhkan, akan diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan," tegasnya.