KOTA KINABALU: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguatkuasakan daftar pengundi berumur 18 tahun selepas September tahun 2022 menerima reaksi berbaur daripada beberapa pemimpin politik muda di negeri ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar bersetuju dengan ketetapan mengundi 18 tahun dilaksanakan pada September 2022.

"Secara keseluruhannya, saya bersetuju dengan penetapan kelayakan mengundi 18 tahun dilaksanakan selepas September 2022 bagi memberikan ruang pendidikan dan pengenalan asas politik kepada belia-belia yang bakal menentukan masa depan negara.

"Asas tersebut merupakan suatu prioriti yang perlu dititikberatkan terutamanya berhubung dengan tanggungjawab terhadap negara,"  katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini. 

Jelas beliau lagi, pelaksanaan kelayakan 18 tahun mengundi perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan kehadiran mereka menepati sasaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Jika kelayakan 18 tahun mengundi dilaksanakan pada PRU15 tetapi kadar kehadiran mengundi kelompok pengundi tersebut adalah rendah, maka pelaksanaan dasar tersebut merupakan suatu kegagalan.

"Oleh itu, pelaksanaan kelayakan 18 tahun mengundi perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan ianya menjadi suatu perubahan dasar atau polisi yang gagal,"katanya.

Bagi ADUN Luyang merangkap Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe pula berpendapat,  pihaknya kecewa dengan keputusan melewatkan pelaksanaan undi 18 tahun yang diumumkan oleh SPR semalam.

"RUU Undi 18 adalah konsensus nasional kerana Parlimen dengan sebulat suara meluluskan rang undang-undang tersebut pada bulan Julai 2019 dengan 211 Anggota Parlimen memilih untuk menyokong RUU itu dan tidak ada Ahli Parlimen yang menentang RUU tersebut.

"SPR menggunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak masuk akal dan tidak dapat diterima.

"Ini adalah tindakan yang jelas tidak menghormati hak-hak belia kita dan ini juga jelas merupakan pengkhianatan terhadap konsensus yang dicapai oleh kedua-dua dewan di Parlimen," katanya.

Manakala, bagi Ketua Penerangan AMK PKR Sabah, Razeef Rakimin turut senada dengan Phoong Jin yang mendakwa keputusan SPR itu jelas bertentangan dengan demokrasi negara.

"Pada saya Undi18 perlu dilaksana segera, penangguhan ini dilihat sebagai pelanggaran hak demokrasi kerana usul Undi18 mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

"Menteri sendiri telah menyatakan akan melaksanakan Undi18 pada Julai namun pengumuman penangguhan yang dibuat SPR amat mengecewakan dan sebab yang dinyatakan pun tidak masuk akal.

"Kita tahu ada usaha untuk menyekat undi18 dilaksana, pada saya ia sama seperti menyekat suara anak muda," katanya.

Untuk rekod, semalam, Pengerusi SPR mendedahkan tempoh pelaksanaan pengundi 18 tahun dilaksanakan selepas September 2022 selepas mengambil kira pelbagai kekangan termasuklah melibatkan penularan wabak COVID-19.