KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meningkatkan pendidikan politik kepada pengundi muda berusia 18 tahun agar golongan itu didedahkan mengenai tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac depan.

Menurut Pengasas Bersama Arus Anak Muda, Nabil Halimi, ia disebabkan kurangnya kesedaran serta maklumat di peringkat akar umbi mengenai hak demokrasi golongan itu ketika ini.

"Kalau kita lihat di peringkat akar umbi, kita tahu ramai anak muda yang tidak tahu adakah mereka telah berdaftar atau belum berdaftar, ada daripada mereka tidak tahu pendaftaran automatik berlaku.

"Ada juga mereka tidak tahu mereka mengundi di Johor atau di Kuala Lumpur kerana alamat kad pengenalan berubah. Saya kira ini adalah faktor kita teliti bahawa takut ada yang tidak buat kepastian ini maka mereka mengambil jalan mudah tidak turun mengundi," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Ahad.

Tambahnya, langkah-langkah tertentu perlu diambil dalam menerapkan nilai pendidikan politik terhadap golongan itu.

Selain pendedahan mengenai hak terhadap golongan itu, ujar Nabil, pelaksanaan undi pos terhadap golongan itu yang berada di luar Johor juga dijangka memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab buat pertama kali.

"Kerana ini pilihan raya pertama umur 18 hingga 20 tahun akan mengundi, maka kita jadikan PRN Johor sebagai titik tolak untuk mendidik anak muda mengenai hak-hak mereka dalam menentukan masa depan lima tahun akan datang

"Tapi daripada PRN Melaka, COVID-19 telah ubah pola pengundian di Malaysia, jadi SPR kena bergerak lebih pantas bagi memperbaharui cara pengundian di negara ini.

"Saya fikir undi pos satu cara lebih baik perlu dilaksanakan semua pengundi tidak kira mereka ini dari luar negara, Sabah atau Sarawak kerana PRN Johor ini tidak dijangka.

"Kita tak kan tahu adakah mereka akan pulang atau tidak untuk mengundi, maka saya fikirkan tuntutan telah kami bicarakan pada pelancaran undi Johor antara tuntutan pemulihan SPR lakukan masa akan datang seperti pengundian pos di kampus, maka cara ini memudah anak muda mengundi," jelasnya lagi.