Kegagalan DAP untuk mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum ini jelas menunjukkan sokongan pengundi bandar kembali bersama Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata SUPP dilihat kini telah hidup semula apabila berjaya merampas kerusi-kerusi yang gagal dimenangi sebelum ini.

"Kemenangan ini juga menunjukkan bahawa asas kekuatan BN tetap utuh di negeri Sarawak. Sarawak tetap merupakan teras kekuatan Barisan Nasional.

"Tetapi apa yang kita lihat, selain daripada BN berjaya mempertahankan kekuatan tradisionalnya turut berlaku 'urban swing' kepada BN dalam pilihanraya ini. 'Urban swing' ini telah menyebabkan parti DAP kehilangan lima kerusi daripada 12 hingga tinggal tujuh.

"Ini menunjukkan kebangkitan semula (revival) kepada SUPP khususnya. Kita berharap bahawa dengan pemulihan ini, dengan pemulihan kepada parti-parti seperti SUPP dan parti-parti yang lain dalam Barisan Nasional, kita akan dapat memperkukuhkan BN sebagai satu keluarga yang dapat bekerjasama dengan sebaik-baiknya antara satu sama lain," katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Pusat akan mengkaji semua janji-janji yang dinyatakan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

"Kerajaan pusat akan mengkaji apa semua janji-janji kita, ini amat penting kerana kita akan berdepan PRU-14 tidak lama lagi dalam dua atau tigatahun atau kurang.

"Pengundi akan tanya apa yang telah kita lakukan. Senarai janji kita akan semak dan kita akan kerjasama baik dengan kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Justreru katanya, beliau percaya kemenangan menerusi mandat rakyat yang diberikan kepada BN bererti bahawa Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menerima mandatnya sendiri untuk mentadbir negeri Sarawak.