POLITIK
'Usah biarkan pangkat dan harta kaburi perjuangan PKR' - Ucapan sebak Wan Azizah

WAN AZIZAH: "Kita lawan kezaliman dan dan kita tegakkan keadilan" - Foto Astro AWANI
Ahli parti diminta tidak menjadikan pangkat, kuasa dan harta mengaburi asas perjuangan dan dasar PKR selama ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekuasaan dan pangkat yang dimiliki kini adalah ujian untuk parti apabila berada di puncak.
Jelasnya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah.
Dalam pada itu katanya, idealisme dan agenda reformasi perlu digenggam erat, diteruskan dan dimantapkan oleh setiap ahli parti.
"Kita berjuangan membela yang hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.
"Kita lawan kezaliman dan dan kita tegakkan keadilan. Kita parti yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah," jelasnya.
Jelasnya lagi, perjuangan 20 tahun PKR penuh dengan halangan dan rintangan dalam tamadun kemanusiaan yang moden.
"Meskipun kita belum sampai ke tahap pengorbanan yang membawa kepada terkorban nyawa; namun penahanan, pemenjaraan, penghinaan, serta segala macam kesusahan telah kita sama-sama lalui demi menjayakan agenda reformasi," ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami