PONTIAN: Parti Warisan bersedia untuk menjadi pengubah keadaan sekiranya parti itu membuat keputusan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presidennya Datuk Junz Wong.

Bagaimanapun, Wong berkata perkara itu masih belum diputuskan dan tujuan beliau berada di Johor adalah untuk menilai keadaan samasa dan akan menyerahkan laporan berkenaan selewat-lewatnya hari ini kepada Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Dia (Mohd Shafie) akan buat keputusan dalam beberapa hari sama ada kita akan bertanding di Johor atau tidak," katanya kepada pemberita di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai khabar angin sama ada Warisan akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), beliau berkata setakat ini belum ada perbincangan dengan PH kerana parti belum membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN Johor.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan Mohd Shafie akan berada di Johor pada 15 Februari dan dijangka membuat pengumuman mengenai perkara itu serta melancarkan parti Warisan Johor dan daripada majlis itu, semua orang boleh melihat sokongan pelbagai kaum terhadap Warisan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, sokongan banyak pihak dapat dilihat menerusi permohonan keahlian, sekali gus menangkis dakwaan bahawa Warisan tidak akan berjaya di Semenanjung.

Setakat bulan lepas, Warisan mempunyai kira-kira 20,000 ahli daripada 85 cawangan di Semenanjung, katanya.

Terdahulu, lebih 300 ahli bahagian Bersatu Tanjung Piai termasuk ahli jawatankuasa parti itu meninggalkan parti dan mengumumkan menyertai Warisan dan Wong telah menerima borang keahlian mereka.

-- BERNAMA