KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memanggil Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing Datuk Azhar Azizan Harun dan Tan Sri Rais Yatim, untuk menghadap di Istana Negara, Selasa ini.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), perkara itu disahkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu pesanan ringkas.

Ia dipercayai ada kaitan dengan isu persidangan semula Parlimen sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.

Terdahulu, Azhar dan Rais mencadangkan persidangan khas Parlimen diadakan pada awal Ogos untuk membincangkan bagaimana sesi Parlimen hibrid (separa dalam talian dan separuh secara fizikal), boleh diadakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa ada usaha menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Speaker Parlimen untuk melengahkan sesi Parlimen.

Perintah darurat yang berkuat kuasa 12 Januari lalu turut menyebabkan sesi Parlimen dan  sidang Dewan Undangan Negeri ditangguhkan.