KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan berhubung Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini Ahli Parlimen Ampang itu masih lagi anggota parti yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

"Kita belum lagi dapat membuat apa-apa keputusan tentang kedudukan beliau walaupun banyak yang menyatakan beliau sudah menyertai parti lain. Setakat ini saya tidak dapat lagi (tahu) keadaan sebenar.

“Ringkasnya beliau masih lagi ahli MPT dan kalau ada apa-apa perkembangan mungkin kita nanti akan buat penilaian bagaimana status beliau kerana bukan sahaja kedudukanya dalam MPT malah sebagai menteri," katanya dalam sidang media hari ini.

Status Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hangat diperkatakan selepas terdapat laporan beliau terbabit menubuhkan PBM dan bakal meninggalkan Bersatu.

Malah Zuraida juga dilaporkan sudah lama tidak menghadiri mesyuarat penting Bersatu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui turut dimaklumkan mengenai dakwaan membabitkan Zuraida walaupun tiada kenyataan dan laporan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu sedang menyiasat dakwaan 'tindakan meragukan' Zuraida yang dikatakan terbabit dengan PBM.

Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata ia susulan isu itu dibangkitkan ketika Mesyuarat MPT parti pada 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan Zuraida perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.