Skip to main content

Dunia

Aduan terhadap Infantino dikemukakan kepada IOC berhubung tindakan pada Piala Dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Quarter Final - Norway v England - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - July 11, 2026 FIFA President Gianni Infantino in the stands before the match REUTERS/Dylan Martinez
Satu aduan yang mendakwa Gianni Infantino melanggar peraturan berkaitan keneutralan politik dalam urusannya dengan Presiden Donald Trump dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). - Gambar fail Reuters
Advertisement

NEW YORK: Satu aduan yang mendakwa Presiden FIFA, Gianni Infantino melanggar peraturan berkaitan keneutralan politik dalam urusannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), lapor PA Media/dpa.

Kumpulan hak asasi manusia, FairSquare mendakwa, Infantino yang menjadi anggota IOC sejak 2020, berulang kali melanggar Piagam Olimpik serta Kod Etika IOC, termasuk yang terbaharu dalam pengendaliannya terhadap kes melibatkan Folarin Balogun.

Penggantungan satu perlawanan ke atas penyerang AS itu ditangguhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sekali gus membolehkannya beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia menentang Belgium.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden Trump menghubungi Infantino menerusi panggilan telefon, namun, tokoh dari Switzerland itu menegaskan, jawatankuasa FIFA beroperasi secara bebas sepenuhnya.

The Times melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Mohammad Al Kamali membuat keputusan menggantung hukuman itu secara bersendirian, walaupun beliau tidak pernah bertindak sebagai pembuat keputusan tunggal dalam mana-mana kes tatatertib yang pernah diterbitkan sebelum ini. 

FIFA setakat ini tidak memberikan sebarang penjelasan mengapa hukuman tersebut digantung.

Menurut aduan FairSquare, terdapat lima pelanggaran jelas terhadap peraturan IOC mengenai keneutralan politik, selain bukti prima facie bagi dua lagi pelanggaran serius, termasuk dalam pengendalian kes Balogun.

Pada Disember lalu, FairSquare turut mengemukakan aduan yang sama kepada Jawatankuasa Etika FIFA.

Persekutuan Bola Sepak Norway pula menulis kepada Jawatankuasa Etika FIFA bagi meminta badan itu mempertimbangkan aduan yang dikemukakan oleh FairSquare.

Pada 29 Jun, seramai 50 anggota Parlimen Eropah turut mengutus surat kepada jawatankuasa yang sama bagi menggesa agar aduan FairSquare diberi perhatian.

FIFA dan IOC dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement